Dziyaul Afnan Abdul Rahman


REMAJA perempuan berdepan detik cemas apabila dia dipercayai hampir menjadi mangsa culik oleh sekumpulan lelaki di kawasan rumahnya di Kampung Tok Kandang, Kangar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun itu sedang berada di halaman rumahnya berseorangan sebelum didatangi dua lelaki dengan menaiki Perodua Viva berwarna hitam.

“Kedua lelaki berkenaan bertindak meluru ke arah mangsa sejurus keluar dari kereta dengan suspek menunjukkan isyarat pelik kepada mangsa.

“Mangsa yang ketakutan bertindak melarikan diri ke kawasan pagar halaman rumah jirannya untuk meminta pertolongan sebelum kereta yang dinaiki mereka berlalu pergi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, selepas kelibat kereta suspek tidak kelihatan mangsa yang ketakutan terus ke balai polis bagi membuat laporan perihal kejadian yang menimpanya.

“Sehubungan itu, kita menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 58 tahun pada tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

“Tangkapan terhadap suspek dilakukan di Simpang Empat ketika mereka berada di dalam kereta terbabit dan akan dibawa reman pada esok,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan air kencing ke atas ketiga suspek mendapati negatif daripada pengaruh dadah, namun dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan penculikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:21 PM