ANTARA GRO yang ditahan polis. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA GRO yang ditahan polis. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Kegiatan sebuah pusat karaoke di Jalan Kinrara, di sini, yang menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) dengan berselindung di sebalik premis kelihatan seperti gudang terbongkar dalam serbuan Operasi Noda, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, seramai 24 individu ditahan membabitkan 15 GRO warga Vietnam dan China, seorang wanita tempatan dipercayai 'ibu ayam', tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus serta penjaga dan lima pekerja lelaki Bangladesh berusia antara 22 tahun hingga 40-an.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati 10 daripada 19 bilik karaoke terletak di tingkat satu hingga tiga di bangunan berkenaan mempunyai pelanggan.

"Jika dilihat secara luaran, premis ini kelihatan seperti gudang. Namun di dalamnya mempunyai bilik karaoke yang diubah suai untuk pelanggan dengan tawaran pakej antara RM800 hingga RM8,000 bagi setiap bilik tanpa had masa.

"Modus operandi mereka adalah hanya membenarkan pelanggan tetap masuk. Pelanggan menunggu di depan pintu besi sebelum ia dibuka menggunakan alat kawalan jauh dikendalikan oleh pekerja di dalam premis," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.

Mohamad Noor berkata, selain 24 individu yang ditahan, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap 118 individu termasuk 99 pelanggan lelaki dan wanita tempatan berusia antara 19 hingga 55 tahun.

"Kami turut mengeluarkan 122 kompaun dalam operasi ini kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama.

"Selain itu, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 dan Seksyen 76(1) Akta Eksais 1976," katanya.

Dalam serbuan berasingan menerusi Operasi Cantas Khas Ambang Tahun Baru di dua pusat hiburan di Bangsar, Kuala Lumpur, pihaknya menahan sembilan individu berusia antara 26 hingga 38 tahun.

Katanya, dalam serbuan di pusat hiburan pertama, pihaknya menahan empat individu membabitkan masing-masing seorang lelaki serta wanita tempatan bekerja sebagai pengurus serta penjaga kaunter selain dua pekerja warga Bangladesh.

"Kami turut melakukan pemeriksaan terhadap 113 pelanggan berusia antara 18 hingga 52 tahun di premis berkenaan. Sebanyak 115 kompaun dikeluarkan termasuk pelanggan kerana tidak mematuhi SOP PPN.

"Dalam serbuan di premis kedua pula, seramai lima individu ditahan membabitkan dua individu tempatan bekerja sebagai pengurus serta penjaga kaunter selain dua lelaki warga Singapura dan seorang lelaki warga Kanada.

"Selain itu, seramai 89 pelanggan turut diperiksa dan dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan di premis berkenaan sebanyak 91 kompaun," katanya.

Katanya, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang mengeluarkan kata-kata kesat dan mencekak vest polis dipakai seorang anggota bertugas di bahagian leher hingga menyebabkan pergelutan ketika pemeriksaan di pusat hiburan kedua di Bangsar.

"Lelaki berkenaan kemudian ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 12:52 PM