ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA premis di Jalan Gambut, Kuantan berselindung di sebalik pusat hiburan dan karaoke eksklusif sejak dua tahun lalu, sedangkan aktif menawar khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO).

Kegiatan haram itu terbongkar hasil serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 1 pagi hari ini.

Susulan serbuan, 67 wanita warga asing berusia 19 hingga 40 tahun dipercayai GRO ditahan.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, wanita itu termasuk 33 warga Thailand, China (29), Vietnam (4) dan seorang Laos menjadi GRO yang menemani pelanggan berkaraoke.

“Ketika serbuan dibuat, ada wanita yang leka melayani pelanggan dan ada cuba melarikan diri tetapi dapat ditangkap.

“Berdasarkan maklumat risikan, pelanggan dikenakan bayaran antara RM240 hingga RM640 bagi tempoh empat jam bersama wanita.

“Untuk satu lagi premis, GRO menerima komisen daripada jumlah minuman keras yang dipesan pelanggan. Semua wanita ini didapati tidak memiliki permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hedzir berkata, pihaknya turut menahan 12 pekerja termasuk dua penyelia premis berusia 20 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan, selain merampas enam alat walkie talkie, alat pengecas walkie talkie.

Katanya, operasi disertai lapan pegawai dan 26 anggota D7 JSJ Bukit Aman dibantu D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Turut dirampas sembilan resit jualan, jadual tugas pekerja, empat minuman keras dan wang tunai berjumlah RM8,157. Premis terbabit juga beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah serta sudah tamat tempoh,” katanya.

Semua tahanan dibawa ke IPD Kuantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1), Seksyen 15(1)c, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963 serta Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)b Enakmen Hiburan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:01 PM