Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Balqis Jazimah Zahari Zahari


Ipoh: Kesemua anggota tubuh dan mayat disyaki milik dua pendaki wanita hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku Simpang Pulai di sini, dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan pengesahan identiti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataannya hari ini turut mengesahkan penemuan mayat pendaki kedua kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

"Pasukan SAR berjaya menjumpai satu mayat disyaki milik mangsa kedua tertanam dalam tanah, satu meter di tepi laluan Sungai Gunung Suku berhampiran Kilometer (KM) 31 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

"Dengan penemuan anggota tubuh manusia dan mayat dipercayai milik kedua-dua mangsa, operasi SAR ditamatkan dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pos Atap Baru ditutup," katanya.

Berkenaan kronologi operasi, beliau berkata, kira-kira jam 6.30 petang 15 Mei lalu pasukan SAR diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh menjumpai satu anggota tubuh manusia kaki kiri di bahagian atas Gunung Suku, dipercayai milik salah seorang mangsa.

Menurutnya, kira-kira jam 10.20 pagi keesokannya pula, pasukan operasi menemukan satu lagi anggota tubuh manusia bahagian pinggang ke atas tanpa kepala di bahagian bawah laluan Pos Atap Baru, disyaki milik mangsa sama.

Ahad lalu, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 5 pagi.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan berpatah balik.

Namun, ketika dalam perjalanan kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita berasal dari Cheras dan Klang, Selangor itu dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 4:37 PM