LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Identiti mayat dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepada air ketika mendaki di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini baru-baru ini sudah disahkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat kedua-dua mangsa akan menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Menurutnya, anggota tubuh badan yang ditemukan pada 16 Mei lalu adalah milik mangsa See Su Yen, 32, manakala penemuan mayat kedua pada Sabtu lalu pula adalah Ng Yew Chew, 46.

"Identiti bagi kedua-dua mayat pendaki berkenaan memang sudah kita kenalpasti.

"Jadi, proses bedah siasat akan dilakukan pada pagi hari ini bagi mengetahui punca kematian mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-215 tahun 2022, di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, setakat ini keluarga bagi kedua-dua mangsa belum membuat tuntutan mayat.

Media sebelum ini melaporkan, kesemua anggota tubuh manusia dan mayat yang disyaki milik dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku Simpang pulai di sini dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat dan pengesahan identiti.

Terdahulu, dua wanita dikenali sebagai See dan Ng 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 5 pagi.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan kembali ke tempat permulaan, kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita berkenaan, masing-masing dari Cheras dan Klang, Selangor, dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:02 PM