Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, disambung semula pagi ini.

Timbalan Komander Operasi, Umrani Che Mat berkata, operasi pencarian memasuki hari ketiga yang hari ini lebih memberi fokus kepada petunjuk seperti hurungan lalat dan bau.

Katanya, gerak kerja hari ini lebih berpandukan kepada peralatan seperti cangkul dan skop serta menganggarkan mangsa kemungkinan berada di bawah lumpur dan kayu yang dibawa air.

"Melalui pemerhatian kita semalam, kita menjumpai sebahagian badan mangsa itu pun berada di bawah timbunan kayu dan juga lumpur.

UMRANI Che Mat (kanan) memberi taklimat sebelum anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bergerak bagi operasi SAR dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai. FOTO Balqis Jazimah Zahari
UMRANI Che Mat (kanan) memberi taklimat sebelum anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bergerak bagi operasi SAR dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Jadi kita lebih fokus kepada timbunan kayu yang kita jumpa, selain daripada penemuan dari unit pengesan pencarian juga lebih berdasarkan kepada langau dan lalat memandangkan hari ini sudah masuk hari ketiga.

"Ini kerana kemungkinan langau dan lalat itu akan lebih tertumpu kepada bau (mangsa)," katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pos Atap Baru di sini, hari ini.

Menurutnya, SAR yang dimulakan seawal jam 9 pagi membabitkan keseluruhan 63 anggota daripada pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Perhutanan Perak, Unit Anjing Pengesan (K9) serta dibantu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Selangor.

Beliau berkata, operasi hari ini yang dipecahkan kepada dua kumpulan dengan pencarian lebih teliti di laluan sejauh satu kilometer (km) bermula dari kepala air di bahagian bawah menaiki sehingga ke bahagian atas di lokasi mangsa dijangka berada.

"Gerak kerja pagi ini masih dipecahkan kepada dua pasukan, cuma memandangkan laluan di atas itu agar sukar, jadi kita lebih fokus kepada bahagian bawah.

"Satu pasukan akan difokuskan kepada pencarian betul-betul di laluan kepala air di bawah dan satu lagi terus menjurus kepada lokasi penemuan yang mana kita jumpa sebahagian anggota mangsa semalam," katanya.

Katanya, setakat ini masih belum ada menemui petunjuk baharu penemuan mangsa dan operasi SAR pencarian masih berjalan sehingga kini.

Terdahulu, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan dalam kejadian kira-kira 5 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan berpatah balik.

Namun, ketika dalam perjalanan turun kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:15 PM