ANGGOTA bomba dan polis membawa keluar sebahagian anggota badan dipercayai seorang daripada dua pendaki yang hilang. FOTO Bernama
ANGGOTA bomba dan polis membawa keluar sebahagian anggota badan dipercayai seorang daripada dua pendaki yang hilang. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menutup sementara kebenaran mendaki Gunung Suku dekat Hutan Simpan Bukit Kinta, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, ia berikutan keadaan yang agak berbahaya pada masa ini susulan hujan lebat sehingga menyebabkan kejadian kepala air berlaku di kawasan berkenaan semalam.

"Hasil semakan juga mendapati tiada sebarang lesen pembalakan dikeluarkan di sekitar kawasan gunung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Namun, semasa dalam perjalanan turun kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.

Dalam pada itu, Mohamed Zin berkata, kesemua 29 pendaki itu mempunyai permit memasuki hutan simpan kekal yang sah.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan mangsa ditemukan di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

Muhammad Shahrizal berkata, anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi penemuan sebelah kaki mangsa yang dijumpai petang semalam.

Anggota badan itu ditemukan di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:52 PM