Anggota penyelamat memulakan SAR mencari dua wanita hilang di Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai. - Foto Bomba
Anggota penyelamat memulakan SAR mencari dua wanita hilang di Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai. - Foto Bomba
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lagi cebisan anggota badan dipercayai mangsa dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini ditemukan pasukan penyelamat sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris ketika dihubungi mengesahkan cebisan anggota badan itu dijumpai pada 4.30 petang di lokasi penemuan kedua semalam.

"Petunjuk terkini pasukan SAR menjumpai cebisan anggota badan mangsa di lokasi penemuan kedua semalam.

"Bahagian anggota mana kita tidak pasti kerana hanya cebisan anggota sahaja yang dijumpai," katanya.

Muhammad Shahrizal berkata, SAR akan disambung semula pada 8 pagi esok.

Sementara itu, Timbalan Komander Operasi, Umrani Che Mat berkata, kedua-dua suami mangsa mengesahkan beberapa cebisan baju yang ditemui hari ini adalah milik mangsa ketika kejadian.

"Cebisan pakaian yang ditemukan pasukan penyelamat sudah disahkan kedua-dua suami mangsa petang ini," katanya.

Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira 5 pagi kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 8:49 PM