IDRIS berucap pada Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO BERNAMA
IDRIS berucap pada Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cadangan mewujudkan pasukan pemantau bagi pusat penyembelihan di luar negara sukar dilaksana berikutan tertakluk perundangan negara yang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, Malaysia tidak boleh melangkau atau bertindak sebarangan kerana setiap negara mempunyai undang-undang berlainan.

"Masalah ini (isu pusat sembelihan langgar peraturan) tidak boleh sebarangan kerana membabitkan perundangan sesebuah negara.

"Cadangan itu baik tetapi dari segi undang-undang ia agak menyekat apatah jika negara itu undang-undang dan kawalan mereka lebih tegas," katanya selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melantik individu bertauliah seperti imam masjid atau penuntut luar negara bagi memantau pusat penyembelihan di Australia.

Ia susulan dakwaan satu lagi kes salah laku di pusat penyembelihan di negara terbabit seperti didedahkan sebuah akhbar tempatan minggu lalu.

Mengulas lanjut katanya, buat masa ini tiada keperluan menubuhkan pasukan pemantau berikutan keadaan masih terkawal.

"Setakat ini keadaan masih terkawal lagi. Kalau ada dakwaan, kita akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di pusat-pusat penyembelihan untuk menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Laporan akhbar Selasa lalu, sebuah pusat sembelihan di Brisbane, Queensland didakwa mengendalikan kerja penyembelihan lembu secara kaedah menembak pelalian tekanan bagi

melemahkan haiwan sebelum disembelih.

Perkara itu didedahkan bekas pekerja pusat sembelihan terbabit dikenali Osama yang memberitahu, pihak penyelia dan pengurusan syarikat langsung tidak mengendahkan pemeriksaan kepala haiwan secara teliti tetapi mendakwa kerja penyembelihan dilakukan mematuhi prosedur halal.

Katanya, rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan badan pensijilan halal, Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) itu mengeksport 70 peratus produk daging mereka ke Indonesia dan Singapura selain beberapa negara Islam lain.

Difahamkan AHDAA dalam proses mendapatkan kelulusan Jakim untuk membenarkan produk daging dari semua rumah sembelihan seliaan mereka memasuki pasaran Malaysia, namun Jakim memaklumkan tidak mengiktiraf badan itu.

Dakwaan terbabit adalah kes kedua berlaku di negara itu selepas kelulusan Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, digantung Jakim pada 14 Mei lalu akibat pelanggaran prosedur penyembelihan halal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 4:49 PM