Idris (tiga kanan) bersalaman dengan pelatih Perkampungan Darul Barakah, Marang pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022. FOTO GHAZALI KORI
Idris (tiga kanan) bersalaman dengan pelatih Perkampungan Darul Barakah, Marang pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pas teguh meneruskan agenda perpaduan sebagai tunjang perjuangan dalam Muafakat Nasional (MN), walaupun ada pimpinan Umno menyifatkan kerjasama kedua-dua parti itu ibarat nyawa-nyawa ikan.

Naib Presiden Pas Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perpecahan akibat sikap ego dan sombong pemimpin parti hanya akan menyebabkan kerugian pada parti Melayu dan Islam.

Menurutnya, sikap sedemikian hanya akan mengulangi kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan justeru itu, Pas enggan berganjak daripada pendirian berjuang untuk perpaduan ummah.

"Soal apa keputusan pun, kami (Pas) tetap dengan soal perpaduan dan bagi kita, kajian yang pernah dibuat oleh pengkaji-pengkaji politik sejak PRU (Pilihan Raya Umum) 1969 mana-mana parti politik di Malaysia, bila kita cakap soal pilihan raya, kita tidak boleh bergerak secara solo.

"Mesti sekurang-kurangnya kena ada kolaborasi (dan) yang lebih penting lagi apabila kita ada pengalaman apabila berlakunya perpecahan dari kalangan kita yang akhirnya kita tengok, parti yang (keahliannya) 65 peratus orang Islam ditewaskan, dikuasai dominan oleh parti yang 35 peratus.

"Jadi Pas (akan) terus bergerak ke hadapan dengan agenda kita, rakyatlah yang akan menjadi hakim nanti, bukan pimpinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah di sini, hari ini.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Pas berpolitik bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya untuk masa depan agama, anak dan cucu.

"Saya sudah berumur 59 tahun, saya berpolitik bukan untuk saya, kita berpolitik untuk masa depan agama dan anak cucu kita, bukan untuk kita.

"Kita apa sangat nak berpolitik sampai kita nak korbankan, bukan pasal kita tetapi tentang masa depan, kita sudah berumur.

"Sepatutnya, yang tua tua dalam kalangan pimpinan-pimpinan semua, tidak perlulah kita bersikap ego, sesama sendiri tidak perlu sombong, duduk dalam bentuk kesatuan (dan) ini yang kita perjuangkan," katanya.

Terdahulu, Umno menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat 'nyawa-nyawa ikan'.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa depan MN biar dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 5:38 PM