SEORANG pemandu kedua sebuah bas ekspres direman bagi membantu siasatan kes cabul. FOTO arkib NSTP
SEORANG pemandu kedua sebuah bas ekspres direman bagi membantu siasatan kes cabul. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pemandu bas ekspres yang ditahan bagi membantu siasatan kes cabul seorang penumpang wanita dalam bas ekspres di Ajil, Hulu Terengganu pada 8 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, suspek berusia 27 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat lalu selepas tempoh remannya berakhir.

Menurutnya, suspek yang juga pemandu kedua sebelum ini ditahan sebaik bas yang dalam perjalanan dari Kelantan tiba di Terminal Melaka Sentral kira-kira 10.30 pagi pada 8 Mei lalu.

"Suspek direman selama empat hari sehingga Khamis lalu dan kita sekali lagi memohon lanjutan tempoh reman sebelum mahkamah membenarkan reman suspek ditambah satu hari lagi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

"Ketika ini, pegawai penyiasat sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk merujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu kedua sebuah bas ekspres disyaki mencabul seorang penumpang wanita dalam bas di Ajil, Hulu Terengganu.

Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat mangsa yang berusia 21 tahun itu yang mendakwa diraba suspek ketika bas berhenti rehat di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 4 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 5:09 PM