GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Guru sekolah agama di Tanah Merah dipercayai terbabit kes liwat pelajar lelaki Tingkatan Dua sejak 2018 ditahan polis di sekolah di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, tangkapan suspek yang juga warden asrama berusia 30-an dilakukan pagi tadi selepas pihaknya menerima laporan dibuat mangsa semalam.

Katanya, berdasarkan laporan mangsa, kes liwat terbabit berlaku sejak 2018, namun baru terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis sebaik kejadian itu dimaklumkan kepada ibu bapa.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk berapa kali mangsa diliwat dan lokasi kejadian.

"Mangsa juga akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 1:38 PM