Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau pemotong ayam gara-gara berebut kereta untuk beraya pada 1 Syawal lalu.

Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abangnya, Muhamad Farok, 38, dengan menggunakan pisau pemotong ayam di sebuah rumah di Jalan TMJ 19 Taman Tanjung Minyak Jaya, di daerah Melaka Tengah, pada 2 Mei lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari membantah jaminan atas faktor keselamatan mangsa namun mencadangkan ikat jamin tinggi jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkannya.

Peguam Amritpal Singh merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu di pusat bowling serta menanggung ibu bapa yang uzur.

TERTUDUH mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang kandung pada pagi Syawal lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang kandung pada pagi Syawal lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa dalam apa jua cara.

Beliau kemudian menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media berdasarkan fakta kejadian dipercayai berlaku selepas tertuduh dan mangsa bertengkar kerana berebut pacuan empat roda Toyota Hilux milik ibu mereka untuk pergi beraya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:22 PM