GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuching: Polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit sindiket pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM22,200.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, kesemua mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Op Bugil dengan dua daripadanya mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Modus operandi sindiket adalah menghubungi mangsa melalui aplikasi media sosial dan menyamar sebagai wanita seksi yang hendak mencari kenalan melalui aplikasi MiChat, WeChat, Facebook dan WhatsApp.

"Sindiket kemudian bertindak membuat panggilan video kepada mangsa serta mempamerkan aksi lucah selain memperdaya mangsa untuk melakukan adegan lucah yang dirakam tanpa disedari mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mancha berkata, selepas itu mangsa akan diugut dan diarahkan membuat pembayaran sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan bagi mengelak rakaman itu disebarkan.

"Mangsa akan mengalami tekanan perasaan dan malu kerana tercalarnya maruah diri akibat ugutan penyebaran gambar dan video tersebut serta kerugian wang ringgit," katanya.

Beliau berkata, selain penahanan kesemua lelaki itu, pihaknya turut merampas empat telefon bimbit dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 384 dan 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 6:16 PM