PEMERASAN oleh scammer ke atas mangsa supaya beraksi lucah menyebabkan ada yang  sanggup membunuh diri kerana  tak sanggup lagi menanggung aib.
PEMERASAN oleh scammer ke atas mangsa supaya beraksi lucah menyebabkan ada yang sanggup membunuh diri kerana tak sanggup lagi menanggung aib.
Hadzlan Hassan

Syabas saya ucapkan kepada Polis Diraja Malaysia khususnya cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) kerana berjaya membongkar kes ugutan membabitkan rakaman melalui panggilan video.

Jika sebelum ini ramai yang mungkin beranggapan pihak berkuasa tidak dapat menjejaki mereka beroperasi secara dalam talian melalui pelbagai aplikasi sosial atas talian pastinya mula kecut perut.

Terbaharu, seperti yang dilaporkan di Kuala Terengganu apabila suami isteri antara tiga ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan pemerasan video lucah menggunakan media sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tiga suspek ditahan pasukan khas Ops Cantas VC dalam dua serbuan berasingan di Sungai Petani dan Baling di Kedah.

Pembabitan mereka terbongkar selepas polis Terengganu menerima laporan daripada seorang lelaki pada 11 April lalu.

Kecekapan anggota polis dari kontinjen berkenaan kemudiannya membawa kepada penahanan suami isteri berusia 27 dan 23 tahun di Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 10.15 pagi 23 April lalu.

"Hasil siasatan awal, mereka mengaku terbabit dalam kes ini sebelum seorang lagi suspek berusia 39 tahun ditahan di sebuah kedai telefon di Baling, Kedah," kata Rohaimi dalam sidang akhbar selepas itu.

Difahamkan, sindiket itu baharu bermula tahun ini dan dipercayai menggunakan media sosial seperti Michat, WeChat dan sebagainya untuk memperdayakan mangsa membuat panggilan video lucah sebelum memeras ugut mereka.

Apa yang ingin saya timbulkan di sini ialah mengenai kecekapan pasukan keselamatan kita menjejaki dalang sebalik perbuatan itu.

Saya difahamkan, selain kes berkenaan banyak lagi kes seumpamanya dilaporkan dan ia semakin meningkat.

Selain Terengganu, polis Pulau Pinang turut mencatatkan 108 kes ugutan penyebaran video bogel lelaki dalam talian sehingga menyebabkan kerugian RM589,685 sejak 2020 hingga 25 Februari 2022.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang menjadi mangsa dalam pemerasan itu berusia antara 13 hingga 64 tahun dengan seorang daripadanya telah membunuh diri akibat tertekan kerana terlampau malu dan kehabisan wang untuk membayar suspek.

Beliau berkata modus operandi suspek ialah dengan mengambil kesempatan untuk menggoda mangsa dan nafsu mangsa dirangsang supaya beraksi lucah melalui video dengan tanpa disedari aksinya dirakam suspek.

Apa yang mengejutkan saya ialah kebanyakan suspek yang ditahan hanya menjadi keldai akaun dan mendapat upah mengikut jumlah transaksi yang dilakukan.

Ada antara traksaksi mencecah sehingga RM30,000 sebulan dan bayangkan berapa keuntungan diperoleh dalang jika dia mempunyai 50 keldai akaun di negara ini.

Mungkin kini sudah tiba masanya semua agensi dalam PDRM sama ada Jenayah Komersial, Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat serta Interpol bergabung tenaga mencegah jenayah ini.

Betapa tidak, ada antara dalang terbabit sebenarnya berasal dan beroperasi dari luar negara dan inilah masalah dan cabaran bagi pasukan keselamatan kita untuk membuktikan kemampuan mereka di mata masyarakat.

Hentikan tohmahan umum yang sering mengaitkan pasukan itu dengan sebarang usur negatif sebaliknya teruskan khidmat kepada rakyat.

Hapuskan dalang aktiviti scammer ini hingga ke akar umbi, usah hanya sekerat jalan. Cari dan dakwa dalang walau di mana mereka bersembunyi kerana umum tahu kita mempunyai hubungan erat dengan setiap pasukan dari seluruh dunia khususnya di rantau Asia.

Sekarang sudah tiba masanya untuk membuktikan kemampuan pasukan keselamatan kita dan bukan lagi sekadar mendabik dada menunggu di kerusi empuk dan hanya berpanas untuk melayan pihak atasan memukul kayu golf di lapangan.

Walau apapun, orang ramai seharusnya lebih waspada dan peka dengan situasi semasa dengan tidak melayan ajakan atau pujukan supaya melayari sebarang lama sosial tidak berfaedah.

Penulis Penyunting Eksekutif Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 7:01 AM