Mahaizura Abd Malik


MAJORITI rakyat Malaysia tidak bersetuju jika pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak dibuka ketika negara masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Gambaran itu berdasarkan undian Facebook (FB) Harian Metro bertajuk 'Wajarkah taska dibuka semula?' setakat 12 tengah hari ini.

Hasil undian dalam talian bermula semalam itu menyaksikan 88 peratus daripada 66,600 pengguna FB yang mengambil bahagian tidak bersetuju jika pusat berkenaan dibuka sekarang.

Manakala 12 peratus lagi memilih jawapan wajar jika pusat dibuka terutama untuk kemudahan golongan bekerja.

Undian ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam bahawa isu pembukaan taska akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri Meteri, hari ini.

Pengguna FB Nysaa Hema berpendapat, tidak wajar taska dan sekolah dibuka kerana golongan kanak-kanak tidak mengetahui aspek kebersihan dan keselamatan.

"Nyawa anak itu penting sangat. Lagipun mereka tidak beberapa tahu tentang jarak sosial dan kebersihan.

"Walaupun kita latih mereka di rumah, pergi sekolah mereka buat lain biasalah budak kecil apatah lagi budak taska," katanya.

Pengguna Napi Perak turut senada menyifatkan keselamatan anak perlu diutamakan.

"Keselamatan anak lagi penting. Kasihan dan menyesal kalau anak kecik terkena Covid-19.

"Kalau hendak buat saringan orang dewasa pun boleh keluar air mata inikan pula kanak-kanak.

"Biar KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kata semuanya selamat baru buka," katanya.

Sementara itu, Didie Xandrea Xandra berkata, sebarang keputusan membuka semula taska perlu memandang kesan ke hadapan selain mempersoalkan status kesihatan petugas dan guru taska.

"Adakah pekerja taska itu benar-benar sihat tiada kontak dengan siapa-siapa yang mungkin kena Covid-19.

"Dalam perjalanan mereka ke tempat kerja, mungkin jumpa kawan atau singgah mana-mana gejala bukan boleh kesan sekelip mata.

"Potensi untuk jangkit kanak-kanak itu tinggi kerana sistem imunisasi mereka tidak kuat lagi," katanya.

Bagaimanapun, Noor Izzati Bt Ibarahim meminta kerajaan mempertimbangkan membuka taska di zon selamat.

"Ada ibu bapa yang sudah mula bekerja (sektor swasta), berada dalam dilema hendak letak anak-anak di mana.

"Kalau sebuah daerah itu berada dalam zon selamat minta ada kelonggaran untuk taska beroperasi tetapi mesti patuhi prosedur operasistandard (SOP) KKM.

"Kalau keutamaan kepada sektor terbabit saja bilangan anak-anak dalam taska juga mungkin separuh daripada bilangan asal," katanya.

Mysarah Mk pula memberikan cadangan taska dibuka untuk golongan kedua-dua ibu bapa bekerja sahaja.

"Mungkin dibuka untuk kedua ibu bapa yang bekerja dan yang tiada orang lain boleh jaga.

"Untuk ibu bapa yang dapat jaga sendiri di rumah, rasanya tak perlulah hantar ke taska atau tadika," katanya.

Sementara itu, Nur Ain berpendapat, pihak berkaitan perlu memikirkan kaedah lain yang lebih praktikal dan selamat.

"Dengan keadaan Covid-19 sekarang yang belum pulih sepenuhnya perlu fikir cara lain kasihan anak-anak kecil ada ibu bapa bekerja.

"Kalau hantar ke taska berisiko beramai-ramai. Kalau ikut SOP pun tak tahu macam mana hendak ikut.

"Tetapi kalau ibu bapa tidak bekerja pun susah hendak belanja makan dan beli keperluan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Taska, Tadika: Buka semula atau tidak?
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 12:57 PM