GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pembukaan semula sesi persekolahan yang dijadualkan pada 3 Oktober depan, memerlukan persediaan rapi daripada semua pihak bukan hanya sekolah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Norlaily Md Nasir berkata, ibu bapa mesti menerapkan anak masing-masing dengan budaya norma baharu sepanjang masa untuk hidup bersama Covid-19.

"Ibu bapa perlu menasihati anak supaya menjaga penjarakan fizikal semasa di sekolah, mencuci tangan dengan betul, membawa sanitasi tangan dan pelitup muka secukupnya serta didik anak-anak cara batuk atau bersin yang betul.

"Bawa bekal makanan ke sekolah sekiranya ibu bapa berkesempatan, bagi memastikan kesihatan anak-anak.

"Jika anak bergejala, pastikan mereka melakukan ujian Covid-19, kuarantin kendiri selama 10 hari selepas hari pertama mula bergejala. Begitu juga apabila ada kontak, pantau kesihatan anak dan pastikan tidak ke sekolah dengan kuarantin kendiri serta mengemaskini status MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Webinar 'Hidup Bersama Virus Covid-19: Kanak-Kanak dan Remaja' yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Selain peranan ibu bapa, Norlaily berkata, pihak sekolah juga bertanggungjawab mengamalkan sembilan langkah yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, antaranya adalah melakukan saringan kesihatan di sekolah, sistem pengudaraan yang baik, tandas bersih dan penyediaan sabun cuci tangan atau sanitasi, mewajibkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa dan memantau kesihatan pelajar.

Katanya, sekiranya ada pelajar bergejala perlu dilakukan ujian saringan di sekolah dan mengasingkan pelajar itu sementara menunggu keputusan, selain memaklumkan kepada ibu bapa serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), jika positif Covid-19.

"Murid dan pelajar juga diharapkan sentiasa mengamalkan norma baharu di sekolah sepanjang masa iaitu memakai pelitup muka, kerap cuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, pembukaan semula sesi persekolahan ditangguhkan ke 3 Oktober depan dan dilakukan secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

Beliau memaklumkan, sesi persekolahan secara bersemuka itu hanya bagi sekolah di negeri Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 11:42 AM