Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusof Ismail (dua, kiri) dengan Country Manager Perniagaan Google Cloud di Singapura dan Malaysia Sherie Ng (dua, kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusof Ismail (dua, kiri) dengan Country Manager Perniagaan Google Cloud di Singapura dan Malaysia Sherie Ng (dua, kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Pembabitan penyedia perkhidmatan awan (CSP) dan penyedia perkhidmatan pengurusan (MSP) menerusi Cloud Framework Agreement (CFA) dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai antara RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang

2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pelaburan itu akan menjadi tulang belakang kepada pembentukan ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

"Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dinaikkan taraf kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD) khusus untuk kegunaan seluruh agensi kerajaan dengan memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai 'government hybrid cloud' atau MyGovCloud.

"Bagi memperkasa MyGovCloud, CFA dimeterai antara kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali sebagai MSP," katanya tadi.

Ismail Sabri berkata, melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.

Katanya, perjanjian CFA adalah satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Urusan Malaysia (MAMPU) pada masa hadapan.

"Dengan termeterai perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Pemilihan CSP, katanya dibuat selepas syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan

'Request for Proposal' (RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus membabitkan pelbagai pihak.

Hasil penilaian itu, kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin.

"Kontrak CFA bersama-sama kerajaan membabitkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd,

Google Cloud Malaysia Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Berhad.

"Empat syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn Bhd, Enfrasys Solutions Sdn Bhd, Radmik Solutions Sdn Bhd dan Awantec System Sdn Bhd," katanya.

Mengenai MyGovCloud, beliau berkata inisiatif itu seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

Jelasnya, ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Terdahulu, beliau menyaksikan menyaksikan pertukaran dokumen CFA antara kerajaan dan CSP serta MSP.

Pertukaran dokumen itu adalah antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Urusan Malaysia (MAMPU) diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Yusof Ismail bersama wakil syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 2:25 PM