Mohammad Asyraf Khalib

UNIT Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai peneraju agenda pendigitalan sektor awam sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) yang terkini.

Ia bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menepati keperluan semasa rakyat dengan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selaras dengan inisiatif Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL).  

Pusat Data Sektor Awam (PDSA) yang dibangunkan oleh MAMPU pada 2010 adalah satu inisiatif perkhidmatan guna sama kerajaan bertujuan mengkonsolidasikan pusat data dan pemulihan bencana agensi sektor awam. 

Pembangunan PDSA ini juga bertujuan menyeragamkan infrastruktur ICT, mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kualiti dan keselamatan perkhidmatan serta menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

MyGovCloud@PDSA adalah perkhidmatan pengkomputeran awan persendirian kerajaan yang disediakan oleh MAMPU bagi membolehkan agensi sektor awam memperoleh sumber pengkomputeran dengan cepat, mudah dan fleksibel dalam persekitaran terkawal, selamat berasaskan piawaian serta mematuhi amalan terbaik global.

Perkhidmatan utama yang ditawarkan terdiri daripada Infrastructure as a Service (IaaS), Platform as a Service (PaaS) dan Software as a Service (SaaS). Perkhidmatan sokongan pula meliputi penyediaan kemudahan backup, restore, pusat pemulihan bencana, khidmat nasihat teknikal serta pemantauan ketersediaan dan keselamatan rangkaian. 

Empat lokasi MyGovCloud@PDSA yang terletak di Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Enstek dan Kulim dihubungkan dengan talian berkapasiti tinggi Data Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) serta Gerbang Internet Terurus yang eksklusif dikenali sebagai MyGov*Net.PDSA. 

Pengurusan dan pengoperasian MyGovCloud@PDSA mematuhi piawaian sistem pengurusan keselamatan maklumat dan diurus oleh personel ICT yang kompeten, berpengalaman dan mempunyai pensijilan profesional. 

Infrastruktur MyGovCloud@PDSA dilengkapi dengan peralatan rangkaian, keselamatan, perkakasan dan perisian ICT yang berteknologi terkini dengan jaminan tahap ketersediaan perkhidmatan Service Level Agreement (SLA) yang tinggi. 

Pelaksanaan MyGovCloud@PDSA selama hampir satu dekad berjaya menyediakan platform pengkomputeran awan kepada 204 agensi kerajaan yang terdiri daripada Agensi Persekutuan, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan Negeri, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang membabitkan lebih daripada 860 sistem aplikasi kritikal sektor awam. 

Sebagai peneraju penyediaan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada agensi sektor awam, MAMPU melangkah setapak lagi melalui Government Hybrid Cloud iaitu penyediaan perkhidmatan cloud yang komprehensif dengan teknologi terkini menerusi jalinan kolaborasi strategik antara MyGovCloud@PDSA dengan empat (4) Panel Cloud Service Provider (CSP) komersil iaitu Microsoft, Google, TM dan Amazon Web Services (AWS) seperti di Rajah 1. 

Kerjasama ini selaras dengan pengumuman mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin dalam pelancaran Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL) pada 19 Februari 2021 yang menyasarkan pengoptimuman sumber kerajaan melalui pendigitalan dan penggunaan cloud computing.

ImageRajah 1: Government Hybrid Cloud yang terdiri daripada MyGovCloud@PDSA dengan Panel Cloud Service Provider (CSP)

Government Hybrid Cloud memberi peluang kepada agensi sektor awam untuk memanfaatkan penggunaan emerging technologies seperti data analytics, artificial intelligence (AI), blockchain, internet of things (IoT), dan virtual/augmented reality (VR/AR). 

Ia dijangka boleh digunakan bermula pada suku pertama tahun 2022 bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

Inisiatif Government Hybrid Cloud ini adalah selari dengan United Nations Sustainable Development Goals (SDG) Teras Kesembilan (9) iaitu industri, inovasi dan infrastruktur. 

Menerusi pelaksanaan perkhidmatan Government Hybrid Cloud, kerajaan dijangka dapat menikmati penjimatan diskaun pukal daripada pihak CSP berdasarkan jumlah langganan agensi sektor awam. 

Selain itu, agensi sektor awam turut berpeluang menikmati pelbagai manfaat lain seperti latihan, kursus persijilan dan transfer of technology bagi memperkasa kemahiran sumber manusia dan kepakaran dalaman. 

Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2021 bertarikh 10 Jun 2021 mengenai Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam menjelaskan berhubung keutamaan penggunaan pengkomputeran awan bagi pelaksanaan semua projek ICT agensi sektor awam terutamanya yang melibatkan aplikasi kritikal kerajaan seperti di Rajah 2. 

Tatacara perolehan cloud juga akan diperkukuhkan agar dapat meningkatkan kecekapan pengurusan perolehan projek ICT agensi sektor awam. 

ImageRajah 2: Kandungan Utama PKPA Bil.1/2021

Kesimpulannya, inisiatif MyGovCloud@PDSA dan Government Hybrid Cloud merupakan strategi ke arah melestarikan perkhidmatan kerajaan yang mampan berasaskan kepada inovasi teknologi digital bagi merealisasikan sasaran yang telah digariskan dalam MyDIGITAL dan seterusnya memenuhi aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:41 AM