SEBAHAGIAN Pati warga Myanmar yang ditahan anggota polis di Kampung Banggol Chicha. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN Pati warga Myanmar yang ditahan anggota polis di Kampung Banggol Chicha. FOTO Ihsan PDRM
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang tekong bersama 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ditahan polis selepas dikejar sejauh tujuh kilometer (km) dalam kejadian di Kampung Banggol Chicha, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah van berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di simpang tiga Kampung Lubok Kawah, di sini.

Menurutnya, anggota polis meminta pemandu memberhentikan kenderaan namun suspek memecut laju kenderaan itu sejauh tujuh km sebelum berhenti di tepi jalan dan menyerahkan diri.

"Hasil siasatan, pemandu yang bertindak sebagai tekong berusia 21 tahun itu berasal dari Tawang, Bachok, membawa Pati terdiri daripada tiga wanita dan 17 lelaki.

"Soal siasat ke atas Pati mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. Mereka dipercayai memasuki negara melalui Thailand, dengan menyeberangi Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, pemandu dan kesemua Pati dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963, manakala suspek warga tempatan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 4:41 PM