SERAMAI 11 Pati lelaki warga Myanmar ditahan polis hasil serbuan di Kampung Banggol Kulim dan Lubok Kawah, Rantau Panjang. FOTO Ihsan PDRM
SERAMAI 11 Pati lelaki warga Myanmar ditahan polis hasil serbuan di Kampung Banggol Kulim dan Lubok Kawah, Rantau Panjang. FOTO Ihsan PDRM
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis menahan 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar menerusi dua serbuan di Pasir Mas, malam tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 dan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) hasil risikan dan rondaan yang membawa kepada penahanan kesemua Pati berusia antara 15 hingga 36 tahun terbabit.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Banggol Kulim, Pasir Mas pada 8.30 malam.

"Sepasukan pegawai bersama anggota risik Batalion 7 PGA membuat serbuan terhadap sebuah rumah dan berjaya menahan lima Pati lelaki berusia 15 hingga 27 tahun.

"Kesemua mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ditahan lalu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, tangkapan kedua dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA di Lubok Kawah pada 11.30 malam selepas melihat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail dalam keadaan mencurigakan di Jeram Pedah, Pasir Mas.

Menurutnya, pemandu kenderaan itu memecut laju menghala ke Meranti selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Setibanya di jalan kampung Lubok Kawah, pihak polis mendapati kenderaan terbabit berada di tepi jalan dan pemandu kenderaan gagal dikesan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati terdapat enam lelaki warga Myanmar berusia 19 hingga 36 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Katanya, kesemua rampasan dan tangkapan Pati terbabit dibawa ke Balai Polis Bakong untuk tindakan lanjut.

"Semakan terhadap pemilik kenderaan mendapati didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Seri Kembangan, Selangor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 55E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 2:49 PM