PATI yang ditahan bersama tekong. FOTO ihsan PGA
PATI yang ditahan bersama tekong. FOTO ihsan PGA
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Cubaan tekong membawa empat pendatang asing tanpa izin (PATI) pada waktu tengah malam gagal apabila dikesan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di pangkalan haram Guchil, Jeram Perdah, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian 11.30 malam itu, anggota bertugas bersama kumpulan pemantau Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, mengesan kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu yang juga bertindak sebagai tekong adalah warga tempatan yang membawa empat PATI warganegara Thailand.

"Tiga daripada PATI berkenaan mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang tamat tempoh, manakala seorang lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

"Anggota kemudian menahan kelima-lima individu berkenaan dan merampas kenderaan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, PATI yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan serta kes disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 11:29 AM