Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kesesakan lalu lintas di daerah ini terutama di pusat bandar dijangka berlarutan sehingga hujung minggu ini sepanjang cuti panjang Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, walaupun kesesakan bermula sejak 1 Syawal hingga hari raya ketiga, situasi itu masih terkawal.

"Bermula hari raya pertama hingga ketiga berlaku sedikit kesesakan trafik dan ia dijangka berlarutan sehingga hujung minggu ini.

"Situasi itu tidak menjadi masalah kerana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu membuat kawalan lalu lintas dengan baik selain penekanan aspek pematuhan," katanya.

Beliau berkatra demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan terhadap keselamatan orang ramai terutama penumpang bas ekspres sempena Op Selamat di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, malam tadi.

Seramai 37 pegawai dan anggota IPD Kota Bharu dengan bantuan lima anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemantauan itu.

Mohd Rosdi berkata, pemantauan di terminal bas itu juga membabitkan pengoperasian bas ekspres dan pematuhan pemandu terhadap peraturan lalu lintas.

"Op Selamat yang dilancarkan bermula 29 April lalu akan berakhir dua hari lagi dan penugasan kami tidak hanya di jalan raya, tapi juga lokasi tumpuan termasuk terminal bas," katanya.

MOHD Rosdi Daud ketika meninjau di  Terminal Bas Lembah Sireh sempena Op Selamat yang bermula 29 April hingga 8 Mei. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Rosdi Daud ketika meninjau di Terminal Bas Lembah Sireh sempena Op Selamat yang bermula 29 April hingga 8 Mei. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Berhubung penugasan Op Selamat, katanya, daerah Kota Bharu mencatatkan sifar kemalangan maut, selain menerima 72 borang balik kampung untuk pemantauan pihak berkuasa.

"Orang ramai tidak perlu bimbang untuk meninggalkan rumah kerana pemantauan dilakukan secara berkala dan dalam tempoh Op Selamat ini, tiada kejadian pecah rumah berlaku di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 11:50 AM