Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Suasana di daerah Kota Bharu (KB) tidak banyak perubahan ketara walaupun kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri untuk individu lengkap dua dos vaksin bermula hari ini.

Tinjauan Harian Metro di stesen bas di pusat bandar ini mendapati suasana agak lengang, selain tiada kesesakan lalu lintas berlaku dan pengunjung juga tidak ramai di dalam kedai yang sudah beroperasi.

Penjaga kaunter bas ekspres di Lembah Sireh, Nor Hasliza Mohd Noor, 37, berkata tiket bas hanya boleh dijual kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Sejak kebenaran rentas negeri diumumkan semalam, ada sedikit peningkatan pembelian tiket bas dan saya menjangkakan stesen bas akan mulai sesak pada hujung minggu ini disebabkan cuti.

"Hampir semua bas membabitkan perjalanan dari semua negeri untuk pulang ke Kelantan sudah penuh berikutan orang ramai mahu bertemu ahli keluarga masing-masing susulan hampir beberapa bulan rentas negeri tidak dibenarkan," katanya.

Seorang bapa, Azni Zainal Abidin, 66, berkata tiada apa yang lebih menggembirakan hatinya apabila akan bertemu dengan anak-anaknya selepas hampir dua tahun 'berpisah' sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

TIADA kesesakan di bandar Kota Bharu meskipun kebenaran rentas negeri sudah bermula hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
TIADA kesesakan di bandar Kota Bharu meskipun kebenaran rentas negeri sudah bermula hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Memang teruja sebab anak-anak boleh balik, namun dalam masa sama, saya tetap risau dan berpesan supaya mereka patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sejak kerajaan mengumumkan aktiviti rentas negeri dibenarkan, telefon saya tidak berhenti berdering apabila mendapat panggilan daripada anak serta cucu yang masing-masing teruja untuk pulang ke Kelantan," katanya.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Sabah, Muhammad Amer Hakim Azni, 24, berkata perasaannya bercampur baur berikutan kes Covid-19 masih tinggi dan belum pulih sepenuhnya.

"Saya akan bercuti selama dua minggu bermula 1 November ini untuk bertemu ayah serta ahli keluarga di kampung selepas sekian lama tidak dapat pulang ke kampung kerana memikirkan keselamatan ayah yang sudah berusia.

"Pada masa sama, saya juga akan mengambil kesempatan untuk menziarahi pusara arwah ibu, Rabiah Abdullah yang meninggal dunia pada 2012 akibat penyakit kanser paru-paru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 1:31 PM