Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) memberi jaminan urusan logistik dan penghantaran ubat-ubatan akan berjalan seperti biasa dan tidak akan terganggu sepanjang musim perayaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya sudah membuat perancangan rapi bagi memastikan bekalan ubat dan penghantaran ke semua klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara berjalan dengan lancar sepanjang musim perayaan ini.

"Setiap kakitangan sentiasa bersiap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan atau bencana besar bagi memberi sokongan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau ditemui ketika menyerahkan 400 pek makanan kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datin Paduka Dr Rohana Johan menerusi Program Hero Ramadan, hari ini.

Turut hadir menyaksikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menerusi program itu, Zulkarnain berkata, sebagai tanda menghargai kakitangan beberapa hospital awam dan juga ibu pejabat polis daerah di Lembah Klang dengan mengadakan Program Hero Ramadan dengan menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

"Program ini adalah aktiviti tanggungjawab sosial yang diadakan setiap tahun sebagai satu cara syarikat menghargai kakitangan barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira waktu dan tempat.

"Mereka bertugas dengan penuh dedikasi sepanjang Ramadan dan memberi keutamaan kepada tugas walaupun pada ketika itu umat Islam yang lain sedang berbuka puasa.

"Program Hero Ramadan yang sudah masuk tahun keenam membabitkan lima hospital dan juga 17 ibu pejabat polis daerah, sebanyak 2,500 pek juadah berbuka puasa disediakan Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur yang seperti Pharmaniaga, adalah sebahagian daripada Kumpulan Boustead, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:13 PM
KHAIRY (tengah) menyaksikan Zulkarnain (tiga dari kanan) menyampaikan pek makanan kepada Dr Rohana (tiga dari kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim
KHAIRY (tengah) menyaksikan Zulkarnain (tiga dari kanan) menyampaikan pek makanan kepada Dr Rohana (tiga dari kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim