Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Individu positif Covid-19 yang perlu menjalani pengasingan selama tujuh hari dari tarikh sampel diambil, boleh dilepaskan bermula hari keempat sekiranya ujian saringan semula berkeputusan negatif.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian itu perlu dilakukan menggunakan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 yang diselia pengamal perubatan.

"Bagaimanapun, sekiranya masih positif, individu itu perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari.

"Ujian itu hendaklah dilakukan menggunakan RTK Antigen kendiri dengan penyeliaan oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal ataupun secara maya," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengumumkan semakan semula langkah kawalan semasa Covid-19 dalam Fasa Peralihan ke Endemik.

Katanya, keputusan ujian itu hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada sejam.

"Ini supaya individu itu segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan berkenaan negatif Covid-19.

"Sekiranya individu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik selepas menjalani pengasingan selama tujuh hari," katanya.

Beliau berkata, selepas ini salam juga dibenarkan namun, orang ramai perlu sentiasa mencuci atau membersihkan tangan serta tidak segera menyentuh muka selepas bersalaman.

Khairy ketika sidang media dan pengumuman khas berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Khairy ketika sidang media dan pengumuman khas berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:28 PM