GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pelancong yang akan menikmati gelembung pelancongan melalui Projek Rintis Langkawi bermula esok diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada kenyataan hari ini berkata, ujian pengesanan Covid-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Kata beliau, keputusan ujian itu perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk sama ada lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.

"Pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di tempat saringan yang disediakan.

"Mereka juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ," katanya.

Menurut beliau, ujian pengesanan ini akan dilakukan terhadap individu dewasa (18 tahun ke atas) serta kanak-kanak dan remaja berusia tujuh hingga 17 tahun.

Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

"Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terbabit akan dipantau dan disahkan oleh kakitangan kesihatan yang bertugas," katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, individu yang didapati positif Covid-19 tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat sedia ada.

Beliau berkata, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu, sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik seterusnya.

Katanya, antara faktor yang dipertimbangkan dalam melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi termasuk liputan imunisasi lengkap penduduk dewasa di pulau terbabit yang mencapai 89.9 peratus manakala 91.8 peratus penduduk dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada masa sama, ia juga membabitkan kesediaan operator pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong.

Beliau berkata, projek rintis itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

Atas sebab itulah, katanya, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi sudah menerima vaksinasi lengkap, tidak positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

"Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap," katanya.

Menurut beliau, semua amalan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi masyarajat daripada jangkitan virus Covid-19 dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan kepada individu lain.

"Saya ingin tegaskan bahawa kejayaan untuk membawa negara keluar daripada pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan malah sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP.

"Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:54 PM