KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media dan pengumuman khas berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
KHAIRY Jamaluddin ketika sidang media dan pengumuman khas berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memansuhkan beberapa keperluan pengujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas dan tiba ke Malaysia kepada pengembara warganegara dan bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mei ini.

"Keperluan ujian bagi pengembara berusia 13 tahun dan ke atas yang lengkap vaksinasi, pengembara mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia digugurkan.

"Protokol baharu ini juga terpakai buat pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi mereka," katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian pra-pelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) atau Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Profesional.

"Kumpulan pengembara ini juga perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau virtual.

"Menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah dan dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Antigen profesional pada hari kelima," katanya.

Katanya, pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK Antigen profesional.

"Polisi sama akan terpakai bagi semua kategori pengembara termasuk umrah, haji dan pekerja asing.

"Bagi pengembara umrah dan haji, mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Semua pengembara masih perlu mengemukakan Traveller's Card yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA," katanya.

Sementara itu Khairy berkata, insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia tidak lagi menjadi pra syarat kemasukan ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 6:16 PM