Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki dan Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan penggunaan alat ujian pernafasan yang dikenalpasti sebagai kit pengesanan baharu virus Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya dalam proses menunggu permohonan untuk pembekalan alat ujian berkenaan.

"Kita ada agensi Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA) yang boleh menerima permohonan daripada pembekal untuk menjalankan ujian klinikal bagi menentukan kegunaan di negara ini.

"Alat itu pada masa ini digunakan di Singapura untuk kesan virus menerusi pernafasan dan kaedah ini perlu diteroka untuk digunapakai di negara ini," katanya pada sidang media secara maya tadi.

Memetik laporan sebelum ini, ujian pernafasan yang mudah digunakan bagi mengesan Covid-19 dengan tepat dalam seminit itu sudah mendapat kelulusan sementara Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA).

Sistem Ujian Pernafasan BreFence Go Covid-19 itu dibangunkan Breathonix Pte Ltd, sebuah syarikat terbitan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan laporan berita yang tular mengenai penggunaan ujian pernafasan itu, MDA sudah membuat carian di laman sesawang laboratori luar negara.

"Hasil carian mendapati Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) dan Therapeutic Goods Administration (TGA) Australia hanya membenarkan penggunaan kit ujian COVID-19 untuk kegunaan profesional.

"Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) Amerika Syarikat pula membenarkan penggunaan ujian sendiri.

"Tapi kita masih menunggu supaya pihak MDA boleh meluluskan permohonan daripada pembekal dan selepas itu kita boleh guna kit ujian guna sampel pernafasan ini yang dilihat lebih mudah apabila masa dan ketikanya sampai," katanya.

Selain itu Dr Adham berkata, KKM juga sedang meneliti untuk memperluaskan ujian pengesanan Covid-19 kendiri melalui sampel air liur.

"Orang ramai buat ujian sendiri untuk tahu status, mereka yang bergejala, sekiranya didapati positif asingkan diri dan kongsi maklumat sama ada dalam MySejahtera atau pegawai kesihatan di pusat kesihatan yang berdekatan," katanya.

Pada masa sama beliau menggesa lebih ramai pengamal perubatan swasta untuk tampil berdaftar dengan KKM supaya klinik swasta diberi kuasa sebagai Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau mampu mengeluarkan perintah pemantauan di rumah terhadap pesakit Covid-19.

"Dengan kuasa diberi kepada pengamal perubatan swasta kita ingin seru mereka untuk

tampil daftar, ini supaya lebih ramai buat ujian sendiri Rapid Test Kit Antigen (RTK Antigen) di rumah dan dapat gunakan fasiliti itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 3:38 PM