Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan diterima daripada pengadu berkaitan dokumen 'PASleak' yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin Pas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat sumber aduan daripada pengadu.

"Kita akan siasat aduan pengadu untuk mengenal pasti jika ada kesalahan jenayah atau kesalahan lain.

"Ini kerana pihak polis perlu mengklasifikasikan kes berkenaan jika ada kesalahan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkenaan termasuk pengadu.

"Sudah tentu ada individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk pengadu terbabit.

"Selepas itu, terpulang kepada hasil siasatan untuk memanggil individu lain," katanya.

Pada Khamis lalu, peguam mewakili Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat laporan polis berkaitan risikan pemimpin Pas seperti yang tular di media sosial.

Pada Jumaat lalu, Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti Melayu.

Sebelum ini, empat tangkap layar mengenai percaturan politik Pas yang menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah menjadi tular di media sosial.

Dokumen itu diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai adalah minit mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

AZMI menunjukkan foto suspek yang ditahan dalam sindiket kereta klon. FOTO Aizuddin Saad.
AZMI menunjukkan foto suspek yang ditahan dalam sindiket kereta klon. FOTO Aizuddin Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 2:35 PM