Amir Mamat

Melaka: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kecewa apabila terdapat perwakilan UMNO melabelkan pemimpin PAS sebagai 'jahanam' ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, ketika mengulas perkara itu berkata tindakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Zawawi Othman itu adalah melampau.

"Saya menolak kenyataan itu (tiga jahanam) yang saya anggap sebagai melampau. Kita hormati semua parti politik, (dalam masa sama) tak bolehlah kita label dan kita letak istilah (kurang baik).

"Bagi saya, itu hak PAS lah, parti lain tak boleh campur (urusan parti). Tak perlu kita labelkan (orang) seperti itu yang saya rasa tak begitu manis," katanya selepas menyerahkan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Bandaraya Melaka di Batu Berendam, di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim. FOTO Syafeeq Ahmad
TUAN Ibrahim. FOTO Syafeeq Ahmad

Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Sabtu lalu, Zawawi dilaporkan berkata, UMNO Kelantan menganggap parti itu tidak boleh bekerjasama dengan PAS selagi ada tiga jahanam' yang memimpinnya.

Dakwanya, gelaran itu diberikan kerana dianggap `bermulut jahat', membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 1:37 AM