Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Setiap hari, saya dan keluarga bersedia dengan apa juga kemungkinan namun selagi termampu, kami akan terus menjaganya," luah Faziela Zaini.

Faziela, 30, kini membantu keluarga menjaga adik bongsunya, Muhammad Izlan Zaini, 25, yang terlantar sakit sejak September tahun lalu akibat ketumbuhan pada otak atau 'Pineal gland gemioma withbrainsterm infarct'.

Menurut Faziela yang menetap di Kampung Baru, di sini, adiknya sebelum ini bekerja di sebuah syarikat kurier namun diberhentikan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.

"Februari tahun lalu, adik kerap sakit kepala dan ingatkan hanya migrain saja malah dia ada ke klinik tetapi hanya diberi ubat serta cuti sakit saja.

"Sakit kepala itu berterusan sehingga April jadi adik cuba lakukan pemeriksaan yang disusuli dengan ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan hasilnya ada ketumbuhan pada otak.

"Dia reda. Dia menghubungi keluarga selepas mengetahui perlu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan namun kami yang seperti tidak percaya malah saya memintanya jangan main-main.

"Rupanya dia serius dan macam-macam bermain di fikiran saya sekeluarga ketika itu kerana memikirkan risiko pembedahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

FAZIELA dan adik bongsunya, Muhammad Izlan ketika sihat. FOTO Ihsan keluarga.
FAZIELA dan adik bongsunya, Muhammad Izlan ketika sihat. FOTO Ihsan keluarga.

Faziela berkata, dua bulan adiknya ditahan di wad hospital selepas menjalani pembedahan iaitu daripada 8 September hingga November tahun lalu.

Selepas dibenarkan pulang, Faziela mengambil alih tanggungjawab membantu keluarga menguruskan Muhammad Izlan yang tidak boleh bergerak.

"Saya ambil upah pengasuh kanak-kanak di rumah jadi ada masa untuk membantu ibu, ayah dan kakak menjaga adik di rumah.

"Pada awalnya, mencabar juga kerana adik tidak dapat bergerak namun lama kelamaan sudah terbiasa.

"Selepas dua kali menjalani pembedahan, saya nampak ada perkembangan positif pada adik antaranya sudah boleh bercakap walaupun tidak jelas dan gerakkan badannya berbanding dulu cuma masih tidak boleh makan sebaliknya hanya minum susu menerusi saluran tiub," katanya.

Faziela berkata, Muhammad Izlan juga ada masalah mata dan dia dirujuk kepada pakar termasuk daripada bahagian neorologi bagi mendapatkan pengesahan.

Katanya, langkah itu juga sebahagian usahanya untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk adiknya.

"Mengenai video di TikTok pula ia sekadar perkongsian rutin saya bersama adik dengan harapan ada yang mendoakannya.

MUHAMMAD Izlan terlantar sakit akibat ketumbuhan pada otak sejak September tahun lalu. FOTO Ihsan keluarga.
MUHAMMAD Izlan terlantar sakit akibat ketumbuhan pada otak sejak September tahun lalu. FOTO Ihsan keluarga.

"Hasil perkongsian itu, baru saya tahu ramai rupanya yang ada penyakit seperti adik.

"Terima kasih kepada yang mendoakan dan sebagai kakak, saya amat berharap adik dapat sembuh kerana rindu dengan keletahnya yang periang, manja, kelakar dan suka mengusik orang sekeliling," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban Muhammad Izlan sekeluarga boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Islamic Bank 10528 0004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 4:21 PM