GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang juruteknik kilang kerugian RM470,000 selepas terpedaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, lelaki berusia 57 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai David Simon yang mendakwa dia adalah wakil LHDN Alor Setar, Kedah pada 7 Julai lalu.

Katanya, David mendakwa mangsa sudah disenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak RM17,600 atas nama Syarikat New West Enterprise yang didaftarkan di ​​Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Alor Setar.

"Suspek mendakwa seorang lelaki dikenali sebagai 'Mohd Faisol Ariffin' sudah ditahan dan mangsa memiliki akaun bersama yang didaftarkan atas nama syarikat berkenaan.

"Mangsa menafikan tuduhan itu sebelum panggilan kemudiannya kononnya disambung ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Mangsa kemudian berurusan dengan individu dikenali sebagai 'Sarjan Sulaiman'," katanya pada kenyataan hari ini.

Aibee berkata, mangsa diarahkan untuk memberikan maklumat kesemua akaun banknya, kata laluan dan nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) serta bukti transaksi kononnya untuk tujuan pemeriksaan.

Beliau berkata, mangsa menerima beberapa mesej di telefon bimbitnya dan kemudian diarah menghantar tangkap layar kepada pihak berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya mendapati berlaku transaksi ke empat akaun bank lain sebelum menyedari dia diperdaya.

"Mangsa menghubungi bank untuk menyekat akaunnya sebelum melaporkan kejadian di Balai Polis Nilai semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 5:59 PM