GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang guru wanita kerugian hampir RM400,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak pertengahan Mac lalu.

Lebih malang, mangsa berusia 36 tahun yang mahu membersihkan namanya daripada dakwaan terbabit dengan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sanggup membuat pinjaman wang daripada bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa diperdaya sejak 15 Mac lalu dan hanya menyedarinya pada 18 April.

"Ketika berada di rumahnya di Nilai, pada 15 Mac lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor 012-7947774 dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Zulhairi Mohamad Zaini daripada LHDN.

"Zulhairi memaklumkan bahawa guru itu mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aibee berkata, kemudian mangsa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai Sarjan David.

"Sarjan David memaklumkan kononnya berdasarkan semakan terhadap maklumat, mangsa didapati terbabit dalam kes penyeludupan dadah dan bersengkongkol dengan seorang lelaki bagi kes pengubahan wang haram. Mangsa disambung pula kepada Inspektor Richard dan dalam masa sama pegawai polis itu menghantar waran tangkap melalui WhatsApp dan meminta mangsa supaya memberikan kerjasama.

"Mangsa kemudian bercakap dengan wanita dikenali sebagai Asisten Komisioner Wan Amina yang mengesahkan mangsa kononnya diburu. Guru terbabit diminta membuat transaksi berjumlah RM39,800 ke satu akaun tidak dikenali.

"Ia kononnya bertujuan membersihkan nama mangsa selain bagi menjalankan siasatan terhadap wang mangsa sama ada daripada sumber bersih atau haram. Mangsa kemudian memindahkan wang pada hari sama," katanya.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa memberikan maklumat akaunnya kepada sindiket sebagai salah satu prosedur siasatan.

"Pada 18 April lalu mangsa membuat semakan baki di dalam akaunnya dan mendapati wang berjumlah lebih RM300,000 lesap dan sedar dirinya ditipu. Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM394,358.

"Mangsa ada membuat pinjaman peribadi daripada tiga institusi perbankan kredit bagi menyelesaikan masalah dihadapinya seperti dakwaan sindiket.

"Mangsa membuat laporan polis pada 21 April lalu di Balai Polis Nilai dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:02 PM