TIGA lelaki ditahan dan lori kontena membawa muatan minuman keras tanpa cukai dirampas. FOTO Ihsan PGA Sabah
TIGA lelaki ditahan dan lori kontena membawa muatan minuman keras tanpa cukai dirampas. FOTO Ihsan PGA Sabah
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kegiatan sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai terbongkar dalam serbuan Op Kontraban di sebuah gudang di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, semalam.

Operasi jam 4 pagi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) Bukit Aman bersama Tiger Platon Briged Sabah, merampas 4,690 kotak minuman keras dianggarkan bernilai RM2.04 juta.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, dalam operasi itu menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 29, 38 dan 50 tahun.

Katanya, hasil penggeledahan di dalam gudang itu menemukan enam kenderaan termasuk dua lori kontena dengan muatan minuman keras tidak bercukai.

"Pemeriksaan lanjut merampas 4,690 kotak minuman keras dengan kapasiti 37,144.8 liter yang dianggarkan bernilai RM2,047,607.10 termasuk cukai.

"Turut dirampas enam kenderaan dianggarkan bernilai RM365,000. Selain itu wang tunai RM12,770 dan enam telefon bimbit dirampas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM2,428,377.

"Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai di sekitar daerah ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 5:46 PM