Ratusan rokok dan minuman keras tidak bercukai dirampas. FOTO IHSAN PGA Sabah
Ratusan rokok dan minuman keras tidak bercukai dirampas. FOTO IHSAN PGA Sabah
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Taktik berselindung di sebalik premis menjual daging babi gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila pelbagai rokok dan minuman keras tidak bercukai berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Gambaron 1, Jalan Telupid-Sandakan, Beluran, semalam.

Operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 kira-kira jam 2 petang itu berjaya merampas ratusan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM84,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat awam berhubung penjualan barangan berkenaan.

Katanya, hasil serbuan pasukan operasi berjaya menemui beberapa kartun rokok dan menahan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

"Hasil soal siasat dijalankan, pasukan operasi yang dipandu arah suspek ke sebuah stor dan rumah dua tingkat di kawasan berhampiran berjaya menemui ratusan rokok dan minuman keras," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek bersama semua barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:20 PM