ROKOK dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas pasukan PGA menerusi Op Kontraban di Kudat. FOTO ihsan PGA Sabah
ROKOK dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas pasukan PGA menerusi Op Kontraban di Kudat. FOTO ihsan PGA Sabah
Juwan Riduan


Kudat: Dua lelaki ditahan selepas didapati memiliki rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM150,000 yang disembunyikan dalam sebuah kontena di Jalan ACC Government Quarters di sini, hari ini.

Pada operasi jam 11.26 pagi, kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 itu pada awalnya ditahan dalam Perodua Viva, berhampiran Pasar Besar Kudat di sini.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui beberapa karton rokok seludup dalam kereta itu sebelum kedua-duanya ditahan untuk membantu siasatan.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi itu dijalankan anggota Batalion 16 PGA Kota Kinabalu menerusi Op Kontraban hasil maklumat awam serta risikan.

"Selepas ditahan, kedua-dua suspek membawa pasukan operasi ke kawasan lapang yang dijadikan tempat penyimpanan sebuah kontena.

"Pemeriksaan pada kontena itu menemui ratusan karton rokok dan minuman keras tidak bercukai," katanya dihubungi.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:46 PM