SEBAHAGIAN daripada minuman keras berkenaan. FOTO Ihsan PGA
SEBAHAGIAN daripada minuman keras berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Tuaran, Inanam, di sini, semalam.

Pada serbuan kira-kira 4.30 petang menerusi Op Kontraban itu, sebanyak 6,000 karton minuman keras dipercayai tidak bercukai, dirampas.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota cawangan risikan Batalion 16 PGA melakukan serbuan di sebuah gudang di kawasan berkenaan.

Katanya, selepas memperkenalkan diri, dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun sebagai penjaga premis dan pemandu ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan menemui pelbagai jenis minuman keras yang disyaki diseludup.

"Tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai belum dipastikan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 9:27 AM