GURU menyertai mogok bagi menuntut kenaikan gaji.
GURU menyertai mogok bagi menuntut kenaikan gaji.
AFP

Wellington: Kira-kira 50,000 guru di New Zealand menyertai mogok pada Khamis, selepas rundingan untuk kenaikan gaji antara kesatuan sekerja dan Kementerian Pendidikan menemui jalan buntu.

Guru yang menuntut gaji lebih baik mengibarkan sepanduk mengisytiharkan "tidak mampu membayar doktor gigi" bertindak melakukan mogok sehari sehingga memaksa tadika serta sekolah rendah dan menengah ditutup di seluruh negara.

Kesatuan sekerja berhujah tawaran gaji terbaru kerajaan tidak sepadan dengan inflasi dan sektor pendidikan berada pada 'titik krisis' kerana kekurangan guru.

"Pendidikan berkualiti adalah hak asasi manusia," kata Chris Abercrombie dari Persatuan Guru-Guru Sekolah Rendah.

"Sedihnya, sebagai guru kami melihat hak itu perlahan-lahan, dan pastinya, terjejas.

"Penambahbaikan kepada gaji guru dan keadaan kerja adalah penting untuk mengekalkan kakitangan yang berpengalaman dan mengambil graduan," katanya.

"Kami ingin menghantar mesej kepada kerajaan mengenai betapa seriusnya kami memerlukan perubahan", kata Mark Potter, presiden Institut Pendidikan New Zealand.

"Kami semua mahukan yang terbaik untuk pelajar kami tetapi tanpa perubahan kepada sistem kami tidak boleh memberikannya kepada mereka.

Menteri Pendidikan Jan Tinetti berkata, beliau kecewa melihat guru mogok dan mahu pertikaian itu diselesaikan dengan cepat.

Kos sara hidup menjadi isu politik utama di New Zealand ketika kerajaan bergelut untuk mengawal inflasi.

Angka baru-baru ini mencadangkan ekonomi New Zealand menyusut mencetuskan kebimbangan kemelesetan yang semakin hampir.

tuntut gaji, guru, sepanduk, mogok, Wellington, New Zealand, xnstp

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 2:55 PM