PTPTN perkenal saluran bayaran baharu dan kempen Click, Pay & Earn Is Back!
PTPTN perkenal saluran bayaran baharu dan kempen Click, Pay & Earn Is Back!
Suliati Asri


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan tiga lagi saluran bayaran baharu bagi bayaran balik pinjaman PTPTN dan simpanan dalam Simpan SSPN.

Tiga saluran terbabit adalah AnsaraPay, PayHalal dan SPayGlobal.

Kemudahan saluran bayaran dalam talian itu adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, bagi menggalakkan bayaran tanpa tunai, PTPTN sentiasa komited dan proaktif untuk memastikan perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (End to End) terus diperkasa.

"Selain dengan mempelbagaikan kemudahan bayaran secara dalam talian, PTPTN turut menyediakan kempen menarik bagi menggalakkan masyarakat menggunakan saluran ini," katanya.

Sempena pelancaran saluran bayaran baharu ini juga, PTPTN dengan kerjasama AnsaraPay, PayHalal dan ShopeePay menganjurkan kempen Click, Pay & Earn is Back! kepada semua pelanggan PTPTN.

Menerusi konsep siapa cepat dia dapat, pengguna terawal yang menggunakan saluran bayaran untuk bayaran balik pinjaman PTPTN atau simpanan melalui Simpan SSPN berpeluang mendapat pulangan menarik yang ditawarkan.

AHMAD Dasuki
AHMAD Dasuki

Tempoh kempen ini bermula 11 November lalu hingga 11 Januari tahun depan.

Majlis pelancaran saluran bayaran baharu dan kempen Click, Pay & Earn Is Back! yang diadakan di Menara PTPTN, baru-baru ini disempurnakan oleh Ahmad Dasuki.

Turut hadir Pengerusi AnsaraPay Datuk Khushairi Wahijan, Pengurus Negara PayHalal Azizul Fikri Ab Rahman dan Ketua ShopeePay Malaysia Alain Yee.

Pengerusi AnsaraPay Datuk Khushairi berkata, kerjasama strategik antara PTPTN dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM seMalaysia (Ansara) dalam menyediakan platform digital sebagai pemudah cara untuk membantu peminjam PTPTN dan pendeposit Simpan SSPN membuat pembayaran secara dalam talian melalui aplikasi e-Wallet AnsaraPay.

Menurut Pengurus Negara PayHalal Azizul Fikri pula, kerjasama strategik PayHalal, gerbang pembayaran patuh syariah pertama di dunia bersama PTPTN adalah bagi mewujudkan saluran pembayaran digital patuh syariah bagi kemudahan masyarakat membayar pinjaman PTPTN serta simpanan mereka di Simpan SSPN.

Sementara itu, Pengurus Besar SpayGlobal, Chin Zhan Kiun berkata, SiliconNet Technologies bangga atas kolaborasi bersama PTPTN dan SpayGlobal.

"Kami yakin ia akan terus menjadi modul Lifestyle Gaya Hidup Tanpa Tunai yang popular di SpayGlobal," katanya.

Bagi Alain Yee pula, usaha pihak PTPTN memudahkan proses pembayaran bagi pelanggan mereka perlu dipuji.

"Di Shopee dan ShopeePay, objektif kami adalah untuk menambah baik gaya hidup masyarakat melalui teknologi dan kami berasa gembira dapat bekerjasama bersama PTPTN bagi mengambil satu lagi langkah positif ke arah matlamat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 6:30 AM