Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Individu berusia 60 tahun ke atas dan menghidap komobiditi serius boleh menerima dos penggalak kedua.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dos penggalak kedua itu bagaimanapun adalah pilihan individu tanpa arahan pengambilan wajib oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, keputusan ini dibuat selepas Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) meneliti kajian santifik serta kohort Malaysia.

"Menerusi kajian itu, individu berusia 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, jantung, buah pinggang, hati dan diabetis berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian dalam Covid-19.

"Mereka boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

"Individu yang mempunyai sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana, berusia 12 tahun dan ke atas juga boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, buat masa ini, vaksin Pfizer adalah vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.

Beliau berkata, individu 60 tahun ke atas yang lengkap mengambil dos penggalak dan dijangkiti Covid-19 layak menerima dos penggalak kedua dalam tempoh tiga bulan selepas mereka pulih sepenuhnya.

"Perlaksanaan syor terbaharu ini tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua.

"KKM kini sedang mengemaskini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan perlaksanaan itu dan ia akan menggunakan kaedah temu janji menerusi MySejahtera bagi memudahkan stok vaksin diuruskan tanpa pembaziran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 5:17 PM