WARGA emas mendapatkan suntikan penggalak di Pusat Pemberian Vaksin Penggalak di Dewan Besar Tzu Chi, Batu Berendam, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
WARGA emas mendapatkan suntikan penggalak di Pusat Pemberian Vaksin Penggalak di Dewan Besar Tzu Chi, Batu Berendam, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) mengesyorkan dos penggalak membabitkan tiga jenis vaksin diberikan kepada semua penduduk berusia 18 tahun dan ke atas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dos itu ialah vaksin Comirnaty, AstraZeneca dan CoronaVac (Sinovac) dengan keutamaan janji temu diberikan mengikut turutan umur, petugas barisan hadapan, individu dengan komorbiditi, wanita hamil dan keperluan ke luar negara.

"Bagi penerima vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga bulan daripada dos kedua diterima. Disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin Comirnaty (Pfizer) bagi semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berusia 50 tahun dan ke atas.

"Bagi individu yang tidak boleh mengambil vaksin Comirnaty atau AstraZeneca sebagai dos penggalak, vaksin CoronaVac boleh diberikan, namun, bagi individu yang memilih vaksin CoronaVac sebagai dos penggalak, mereka boleh maklumkan kepada pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima vaksin berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu penerima vaksin AstraZeneca akan diberikan dos penggalak enam bulan selepas dos kedua dan mereka disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin yang sama bagi semua peringkat umur, namun vaksin Comirnaty juga boleh digunakan.

Khairy memaklumkan bagi penerima vaksin lain, iaitu vaksin Comirnaty, Spikevax (Moderna) dan Convidecia (CanSino), Covilo (Sinopharm) dan Janssen (Johnson & Johnson), mereka disyorkan untuk menerima dos penggalak vaksin Comirnaty bagi semua peringkat umur atau vaksin AstraZeneca bagi individu berumur 50 tahun dan ke atas.

"Penerima Comirnaty, Spikevax dan Convidecia akan diberikan dos penggalak selepas enam bulan daripada suntikan terakhir, manakala penerima vaksin Covilo pula selepas tiga bulan daripada dos kedua dan vaksin Janssen selepas dua bulan daripada dos terakhir," katanya.

Beliau berkata, vaksin dos penggalak diberikan di fasiliti pengamal perubatan swasta atau di luar fasiliti kesihatan swasta (off-site) dan ia juga diberikan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang terpilih serta aktiviti jangkau luar (outreach).

Katanya, tarikh janji temu untuk dos penggalak bagi individu yang layak akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau penerima boleh mendaftar dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tarikh janji temu di fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

Senarai fasiliti kesihatan awam dan swasta yang terbabit dengan pemberian dos penggalak boleh didapati di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia https://covid19.moh.gov.my/vaksin-covid-19 atau di laman sesawang Protect Health https://protecthealth.com.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 10:06 PM