FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan signifikan dalam memastikan warga emas mendapat suntikan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak susulan kematian membabitkan golongan itu agak tinggi.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, jumlah kematian membabitkan warga emas kini agak tinggi bagi mereka yang belum divaksin dan menerima dos penggalak.

Katanya, kekurangan akses kepada maklumat berkaitan vaksin boleh menjadi punca masih ada golongan warga emas tidak menerima suntikan vaksin.

"Kepada yang berkeluarga boleh bantu menyampaikan maklumat kepada ibu bapa dan saudara khususnya mereka yang mempunyai komorbiditi.

"Pemimpin masyarakat juga boleh lebih kerap turun padang untuk pastikan penduduk di kawasan mereka sudah disuntik vaksin dan menerima dos penggalak," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, golongan warga emas sinonim dengan komobiditi menjadikan mereka begitu berisiko dijangkiti Covid-19 yang boleh membawa risiko kematian.

Tambahnya, maklumat mengenai vaksin perlu disampaikan dengan jelas kepada mereka kerana kekangan maklumat menjadi golongan ini tidak menyedari kepentingan untuk divaksin.

"Program 'outreach' boleh dipertingkatkan khususnya untuk mereka yang tinggal di luar bandar dan mempunyai masalah pengangkutan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Jangan pandang ringan khususnya ketika varian Omicron sudah mula menyebabkan kes harian melonjak walaupun penghidapnya tidak mendapat gejala serius," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam dilapor berkata, mengikut status vaksinasi bagi tempoh 17 Februari hingga 2 Mac kematian individu berusia 80 tahun ke atas dan tidak menerima dos penggalak adalah lebih tinggi.

Ini jelas menunjukkan bahawa dos penggalak dapat melindungi warga emas daripada kematian akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 4:32 PM