PERNIAGAAN makanan turut mengalami revolusi dalam capaian internet.
PERNIAGAAN makanan turut mengalami revolusi dalam capaian internet.
Nurul Husna Mahmud


DIBIARKAN tanpa menjalani rawatan untuk penyakit talasemia selama dua tahun menjadi titik penting dalam pertimbangan Kahliya Sidek, 38, yang memilih untuk menjalani hidup sebagai ibu tunggal.

Biarpun perit, akui Kahliya, itu lebih baik daripada menahan penderitaan menjadi isteri kepada bekas suami yang terjebak dengan aktiviti tidak sihati.

Kata Kahliya, dia tekad untuk bangkit termasuk mencari apa sahaja boleh mendatangkan sumber rezeki bagi menanggung tiga anak selain rawatan kos perubatan penyakitnya.

"Anak menjadi sebab utama saya boleh bertahan termasuk berniaga dan bekerja membersihkan bilik hotel secara sambilan demi mencari rezeki.

"Apabila memegang status ibu tunggal ramai wanita berasa putus harap, tetapi saya sebaliknya apabila konflik dengan suami berlarutan selama lebih enam tahun dan tiada pengakhiran.

"Suami sebelum ini sangat bertanggungjawab termasuk menjaga saya ketika sakit mula berubah apabila terjebak kegiatan tidak sihat.

"Asyik memberi alasan tiada duit, saya nekad keluar rumah dan mula berniaga selain turut membuat pekerjaan sambilan," katanya.

Tinggal di tengah ibu kota, kata Kahliya, tidak dinafikan cabaran terutama perlu mencukupkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM3,000 untuk selesa bagi menampung keperluan harian dan rawatan.

"Penyakit saya ini bukan diwarisi dari keluarga sebaliknya berpunca daripada perpindahan darah didermakan ketika saya mengalami komplikasi bersalin anak kedua.

"Difahamkan saya menggunakan kira-kira 19 pek darah kerana kes saya kritikal dan tidak sangka dalam darah diterima ada pembawa talasemia.

KAHLIYA menjana pendapatan menerusi perniagaan demi anak.
KAHLIYA menjana pendapatan menerusi perniagaan demi anak.

"Saya reda dan menerima semua itu sebagai takdir. Saya hanya fokus untuk ubah nasib diri dan tidak mengharapkan ehsan orang," katanya yang menggunakan ubat khas bernilai RM1,000 sebulan dibayai Pusat Zakat.

Kahliya yang ditemui dalam program Mars Wrigley Recipe For Success dikendalikan GivingHub yang optimis membantu golongan B40 untuk keluar dari 'kepompong' kemiskinan menerusi meningkatkan skil keusahawan menerusi platform digital.

Seorang lagi peserta program yang juga berstatus ibu tunggal, Siti Zoyah Abd Wahab, 63, berkata, kesusahan ketika membesarkan 11 anak selepas berpisah dengan suami lebih 10 tahun kekal dalam ingatan.

"Saya bertekad susah dan penat macam mana sekali pun terpaksa gagahkan.

"Anak-anak masih bersekolah dan yang kecil di rumah ditinggalkan menguruskan diri sendiri dengan bantuan anak yang lebih besar.

KEUSAHAWANAN membantu menaik taraf hidup B40.
KEUSAHAWANAN membantu menaik taraf hidup B40.

"Saya kerja sebagai tukang masak di dua tempat dalam sehari. Pagi memasak di Chow Kitt, petang pula memasak di Ampang, Selangor.

"Malah saya menggunakan bas dan terpaksa bertawakal tinggalkan anak di rumah kerana keluar mencari rezeki.

"Sehingga pada 2003 seorang 'VIP' cadangkan saya masak nasi lemak dan mula berniaga. Sehingga sekarang berniaga, tetapi masak di rumah. Anak membantu membuat penghantaran ke rumah-rumah," katanya.

Tidak dinafikan sebagai golongan yang menjalankan perniagaan secara konvensional, dia mengakui kalah dengan dugaan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

"Sebelum ini saya ada kedai makan diusahakan berdekatan dengan rumah. Tetapi, apabila pandemik, saya mula beralih atau tukar model perniagaan selain semua tempahan dimasak dari rumah.

KAHLIYA contoh ibu tunggal cekal bukan sahaja mengalami Talasemia mampu melakukan dua hingga tiga pekerjaan.
KAHLIYA contoh ibu tunggal cekal bukan sahaja mengalami Talasemia mampu melakukan dua hingga tiga pekerjaan.

"Kini selesa dan anak-anak membantu kerja penghantaran. Cumanya saya ada simpan hasrat untuk kembali buka kedai makan dan mungkin anak boleh teruskan.

"Sebagai persiapan, saya kena tingkatkan kemahiran supaya peralihan semula membuka kedai, kaedah digunakan masih relevan.

"Saya perlu belajar untuk promosi dan pemasaran yang sudah banyak menggunakan digital," katanya.

Ditanya cabaran mempelajari semua itu pada usia lewat, akui Siti Zoyah, ia sukar, tetapi minat 'mengikat' kecekalan untuk bertahan sehingga penghujung program.

"Saya tidak malu mengaku susah untuk faham kerana ia datang dari zaman saya. Tetapi, minat mempelajari itu membuatkan saya datang dan cuba belajar.

"Tambahan pula, program ini juga salah satu untuk mendapatkan rakan baru dan rangkaian supaya menyokong perniagaan antara satu sama lain," katanya.

'Recipe for Success' membantu usahawan B40 terpilih kekal relevan dan memenuhi keperluan dunia digital semasa supaya mereka dapat memasarkan produk mereka melalui saluran digital dan media sosial serta menjana pendapatan secara mampan.

Untuk memperkukuhkan mereka, siri bengkel pemasaran digital itu turut dijalankan sebanyak empat sesi bimbingan.

Menurut Pengarah Urusan GivingHub, Chun Wah Hoo, pihaknya membangunkan konsep bimbingan holistik bagi memastikan anak didik dari program dapat manfaat serta berdikari.

"Fokus kami adalah menbangunkan secara holistik kemahiran peserta supaya mereka dapat memupuk semangat keusahawanan, memulakan perjalanan peribadi masing-masing ke arah pencapaian cita-cita dan kebebasan untuk berdikari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:00 AM