ORANG ramai mengunjungi bazar Ramadan Saujana Utama. FOTO Asyraf Hamzah.
ORANG ramai mengunjungi bazar Ramadan Saujana Utama. FOTO Asyraf Hamzah.
Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Walaupun tahu menjadi kesalahan jika tidak meletakkan tanda harga, namun masih terdapat segelintir peniaga bazar Ramadan yang dikesan gagal mempamerkan tanda harga.

Tinjauan Harian Metro di dua bazar Ramadan di sekitar Sungai Buloh mendapati perbuatan itu dilakukan segelintir peniaga yang menjual lauk-pauk.

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga makanan dan minuman lain mempamerkan tanda harga masing-masing, selain mereka turut menyediakan kemudahan pembayaran kod QR.

Peniaga makanan 'corn dog', Muhamad Sharul Asminto berkata, dia meletakkan tanda harga bagi memudahkan pelanggan melihat perbezaan harga dan membuat pilihan jenis corn dog yang ingin dibeli.

Muhamad Sharul, 18, yang kali kedua berniaga di Bazar Ramadan Saujana Utama di sini, menjual dua jenis corn dog iaitu biasa berharga RM7 dan berkeju RM8.

"Saya memang letak tanda harga untuk senang pelanggan buat pilihan dan bayaran. Lagipun, Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) sudah keluarkan arahan supaya peniaga letak tanda harga.

"Harga jualan saya berbeza iaitu corn dog keju sedikit mahal berbanding biasa namun ia antara yang menjadi kegemaran pelanggan. Sebelum ini saya jual RM7 tapi disebabkan harga keju naik, jadi saya terpaksa naikkan harga jualan.

"Alhamdulillah, setakat ini tiada pelanggan yang mengadu tidak puas hati kerana mereka juga faham harga bahan mentah termasuk keju yang meningkat di pasaran," katanya.

Peningkatan harga bahan mentah itu turut diakui peniaga keropok lekor, Zulhaimy Iqmal Norhisham, 23, yang memaklumkan perniagaannya mengalami kenaikan kos bahan mentah.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menaikkan harga jualan demi menjaga pelanggan.

"Saya menjual keropok lekor setiap hari pada hari biasa dan sepanjang bulan Ramadan ini, saya berniaga di bazar.

"Jadi saya memang letak senarai harga keropok lekor di depan gerai. Pelanggan cuma perlu tengok senarai itu dan beritahu yang mana diingini, lebih mudah serta cepat," katanya yang menjual keropok lekor diusahakan bapanya sendiri.

Sementara itu, pengunjung bazar Ramadan, Affendi Md Noh, 37, berkata berdasarkan pemerhatiannya mendapati kebanyakan peniaga di bazar itu meletakkan tanda harga masing-masing.

"Ini kali pertama saya datang ke bazar tahun ini dan saya puas hati kerana peniaga mematuhi arahan ditetapkan termasuk aspek kebersihan. Harga makanan dijual pun berpatutan," katanya.

Seorang lagi pengunjung mahu dikenali Aishah, 23, berkata dia lebih selesa membeli di gerai yang mempamerkan tanda harga supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan.

Selain itu, katanya, ia lebih memudahkannya untuk terus membuat bayaran mengikut harga ditetapkan dan turut menggunakan kaedah pembayaran kod QR yang disediakan peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 12:27 PM