Nazdy Harun


Kuala Terengganu: "Sekiranya dipanjangkan usia dan dapat menunaikan ibadah puasa Ramadan tahun depan, saya akan kembali berniaga air balang seperti hari ini.

"Tahun lalu saya menggunakan 20 balang manakala tahun ini saya tambah tujuh lagi balang dan sekiranya berkesempatan pada tahun hadapan saya berhajat untuk menjadikan bilangan balang air melebihi 30 biji," kata Muhammad Fahmi Sulaiman, 26, peniaga air di bazar Ramadan, Chabang Tiga, di sini.

Menurutnya, dia memperuntukkan 100 beg air batu setiap hari dengan menyewa empat tapak bazar bagi memuatkan 27 balang air untuk jualan berkenaan.

"Idea menjual air balang yang banyak ini sudah bermula sejak 2014 kerana setiap hari saya berniaga di lagun Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung.

MUHAMMAD Fahmi Sulaiman, 26 (kanan) yang menjual sebanyak 27 air balang pelbagai perisa dan Buah  menjadi tarikan utama pengunjung ketika ditemui di bazar Ramadan, Chabang Tiga. FOTO Ghazali Kori
MUHAMMAD Fahmi Sulaiman, 26 (kanan) yang menjual sebanyak 27 air balang pelbagai perisa dan Buah menjadi tarikan utama pengunjung ketika ditemui di bazar Ramadan, Chabang Tiga. FOTO Ghazali Kori

"Dengan pilihan air yang banyak akan memudahkan pelanggan untuk memilih dan tidak perlu berpusing-pusing di dalam bazar bagi mencari air minuman yang dikehendaki," katanya.

Katanya, air minuman paling laris antaranya soda pudina, coklat dan mangga yang dijual pada harga antara RM3 hingga RM5.

Sementara itu, pelanggan, Rosmawati Alias, 30, berkata dia teruja melihat begitu banyak air balang yang dijual peniaga berkenaan.

"Pelbagai jenis air boleh diperoleh dan harganya juga berpatutan, malah ia sedikit-sebanyak dapat meringankan beban pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:06 PM