Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Deretan balang air yang diberikan nama 'janda saya', 'duda saya', 'abang sayang' dengan pelbagai perisa menarik perhatian orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja di sini.

Pelbagai aksi serta gelagat mencuit hati pelanggan yang mahu memesan air tersebut di sakat pasangan masing-masing hingga mencetuskan suasana ceria di bazar Ramadan itu.

Peniaga air, Siti Nor Khadijah Mohamad, 37, berkata, idea untuk melabelkan pelbagai perisa air minuman yang dihasilkannya dengan nama itu timbul secara spontan sejak enam tahun lalu.

"Pada mulanya saya ingin mencari kelainan dengan berbuat demikian berbanding sekadar meletakkan nama air mengikut perisa.

"Namun lama-kelamaan menjadi tarikan kepada pelanggan untuk merasai sendiri air ini seterusnya ada antara mereka mula menjadi pelanggan tetap," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja, di sini.

Khadijah berkata, dia menjual air balang itu pada bulan Ramadan sahaja untuk menambah pendapatan sampingan serta persiapan menjelang Syawal.

"Pada bulan lain, saya bertugas menguruskan kantin sebuah sekolah serta mengendalikan sebuah kedai makan di Jeti Kuala Besut.

Deretan beberapa balang air janda serta air duda mengandungi pelbagai perisa minuman menarik perhatian orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja di sini. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Deretan beberapa balang air janda serta air duda mengandungi pelbagai perisa minuman menarik perhatian orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja di sini. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI

"Saya juga turut mengambil tempahan membuat air balang ini untuk pelbagai jenis majlis jamuan termasuk majlis perkahwinan," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini berkata, setiap hari sepanjang bulan Ramadan dia akan menghasilkan antara sembilan hingga 10 balang air untuk dijual di bazar itu.

"Air yang dijual antaranya air janda manis (asam boi), janda saya (teh susu), duda saya (strawberi susu), duda awak (kopi susu).

"Selain itu turut dijual air 'I Miss U' ( blue lemon), I Love U' (mix green) Bunga cinta (koktail), madu awak (milo susu) serta abang sayang (aroikah).

"Harga bagi setiap satu gelas berharga RM3 manakala bagi setiap plastik besar RM5 sesuai untuk dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa bersama keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 3:24 PM