HELMI (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai pilihan air yang dijual di gerai Air Balang JB Style di UTM Skudai, Johor.
HELMI (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai pilihan air yang dijual di gerai Air Balang JB Style di UTM Skudai, Johor.

Kuala Lumpur: Helmilo Trading, syarikat milik penuh Bumiputera yang memfokus menjual Air Balang Jaybee Style komited untuk meluaskan operasi di seluruh Malaysia dengan mempelbagaikan produknya.

Pengasasnya, Helmi Sadek berkata, dia yang mula berniaga secara sambilan dengan menjual air Milo di pasar malam, mula serius selepas mendaftarkan syarikat itu pada 2013 dan memperkenalkan minuman air balang.

Katanya, kelainan yang ditampilkan menerusi Air Balang Jaybee Style yang dijual di pasar malam dan bazar Ramadan di sekitar Johor itu mendapat sambutan luar biasa.

"Air Balang Jaybee Style yang paling mendapat permintaan adalah manggo float, strawberi, vanilla blue, vanilla orea dan coconut shake.

"Saya antara pelopor minuman ini di mana kami menggunakan hampir 90 peratus susu bukan gula untuk menghasilkan rasa yang enak.

"Selain di pasar malam, kami sekarang menjual Air Balang Jaybee Style di tapak acara dan pada tahun ini, kami turut merancang untuk membuka kedai serta sedang mencari gudang lebih besar di Johor Bahru," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dengan menggunakan strategi perniagaan dan pengalaman menjual Air Balang Jaybee Style selama lebih tujuh tahun, pihaknya merancang untuk menjual produk sejuk beku.

Helmi berkata, sebelum ini, dia menjual dim sum, namun terpaksa menghentikannya untuk memberi tumpuan kepada Air Balang Jaybee Style.

"Selepas ini saya merancang mengembangkan produk sejuk beku bermula dengan dim sum dan menjualnya secara offline (luar talian) dan online (dalam talian)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 7:58 AM