Kuala Lumpur: Lori tangki membawa muatan toksik terbakar 50 peratus di Kilometer 8.2 arah Selatan berdekatan Plaza Tol Sungai Besi, di sini, 7.15 malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.20 malam.
Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman.
"Apabila tiba di lokasi anggota mendapati lori tangki membawa muatan toksik terbakar di lorong tengah laluan terbabit.
"Tugas pemadaman dilakukan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.47 malam.
"Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca dari percikan api brek lori terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.