GAMBAR adalah ihsan PDRM
GAMBAR adalah ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


DUA kenderaan termasuk lori sampah musnah dalam kebakaran berdekatan sekolah di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani, berkata pihaknya menerima panggilan awam pada 8.25 malam.

Katanya, lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju ke lokasi bagi bantuan pemadaman.

"Apabila tiba dilokasi pada 8.36 malam, anggota mendapati kebakaran membabitkan lori sampah dan kereta lama yang tersadai di tepi jalan terbabit.

"Anggota berusaha memadamkan kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 9.22 malam.

"Siasatan mendapati kebakaran menyebabkan lori sampah musnah 80 peratus di bahagian enjin dan kereta pula musnah sepenuhnya," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian tidak membabitkan kecederaan kepada mangsa dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenalpasti punca kebakaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:10 AM